Jumat, 20 Juni 2008

Allium sativum,

Bawang putih atau nama saintifiknya: Allium sativum,L. telah lama dikenali sejak berabad-abad lamanya. Malahan tumbuhan istimewa ini telah digunakan oleh hampir semua masyarakat di dunia. Ini adalah kerana ciri-cirinya yang amat memberi manfaat. Contohnya, ahli farmakopoeia Li Shih-Chen yang terkemuka di zaman Dinasti Ming telah mendokumenkan banyak faedah bawang putih terhadap kesihatan dalam bukunya yang berjudul The Compendium of Materia Medica. Bawang putih adalah sefamili dengan bawang merah atau nama saintifiknya: Allium cepa,L Kedua-dua tumbuhan ini telah dinamasaintifikkan oleh Carl Linnaeus iaitu Bapa Taksonomi Moden.

Khasiat bawang putih bukan sahaja terletak pada bebawangnya. Daun bawang ini turut mempunyai khasiat yang tersendiri dan boleh dimakan. Malahan kulit bawang ini juga turut boleh dimanfaatkan. Contohnya dalam masyarakat Melayu terutamanya dinegeri-negeri selatan Semananjung Malaysia, kulit bawang putih digunakan untuk membuat telur pindang bersama-sama bahan yang lain. Ia dikatakan mampu membuatkan rasa telur tersebut lebih enak selain daripada meninggalkan aroma yang tersendiri.



PERINCIAN BAWANG PUTIH

Bawang putih ditanam di atas tanah yang gembur dan rata. Ia boleh ditanam hampir di seluruh dunia. Bebawang yang istimewa ini terletak didalam tanah. Ia terbentuk dalam bentuk labu yang mengandungi 10 hingga 13 ulas. Kulit luarannya diselaputi kulit yang berwarna putih kekuningan. Daun bawang berbentuk memanjang. Bawang putih boleh ditanam dengan mengunakan bebawangnya.

Komponen utama bawang putih terdiri daripada:

Ciri


Peratusan

Air


64.3

Protein


7.9

Lemak


0.6

Karbohidrat


16.3

Tenaga


98 kkal/100g



Bawang putih mempunyai bau yang tersendiri. Apabila ia dihancurkan, satu enzim yang dipanggil alliinase dilepaskan. Alliinase bertindak dengan alliin iaitu satu sebatian di dalam bawang puith untuk membentuk allisin. Allisin yang sangat tidak stabil telah bergabung dengan sebatian yang mengandungi sulfur lalu menghasilkan bau yang tersendiri.

Sesetengah individu menggemari aroma ini. Namun ramai juga yang membencinya. Bahan ini juga merangsang pengeluaran air mata apabila mata didedahkan kepadanya. Oleh kerana itu tidak hairanlah mengapa terdapat sesetengah individu yang kelihatan seolah-olah menangis ketika mengendalikan bawang ini sama ada ketika mengupas atau memotongnya. Terdapat satu petua di kalangan masyarakat Melayu bagi mengelakkan rasa kepedihan mata ketika memotong bawang. Pada kepercayaan mereka apabila memotong bawang, hendaklah dicucukkan sebiji bawang putih di hujung pisau yang digunakan.

Aroma bawang putih ini seolah-olah pedas-pedas masam. Ianya tersendiri dan tidak dapat ditandingi oleh mana-mana rempah atau perasa. Ia mampu menghapuskan bau dan menambahkan perisa kepada masakan khususnya daging.



KHASIAT BAWANG PUTIH SECARA SAINTIFIK

PENCERNAAN

Bawang putih membantu pencernaan dan menambahkan nafsu makan.Apabila dimakan mentah, bawang putih meransang perembesan air liur. Ia meluaskan tindakan pepsin (satu enzim yang membantu mencerna protein) dan menaikkan tahap asid hidroklorik di dalam perut. Ia juga meningkatkan perembesan cecair usus dan meluaskan tindakan enzim yang mencerna karbohidrat. Selain itu, bawang putih mengandungi banyak serat diet, vitamin B1, vitamin C dan baunya yang istimewa meransang nafsu makan kebanyakan individu.



PENYAKIT KARDIOVASKULAR

Bawang putih merendahkan tahap lipoprotein yang 'jahat' contohnya LDL, VDL di dalam darah. Ia juga meningkatkan tahap lipoprotein yang baik contohnya HDL di dalam darah dan menyekat pengumpulan darah. Ini bermakna penggunaan bawang putih yang berterusan boleh mengurangkan risiko penyakit kardiovaskular atau penyakit jantung.



BARAH

Bawang putih menyekat pembahagian dan pertumbuhan sel darah di bahagian seperti kolon, hati, buah pinggang, kulit, esofagus, perut, pundi, buah dada dan serviks. Pati bawang putih boleh mengurangkan ketoksikan siklofosfamida, sejenis ubat yang digunakan dalam rawatan barah.

Tidak ada komentar: